Tuesday, June 15, 2010

Pakar Kanak-kanak: Hadapi bayi pramatang



TEMPOH kehamilan yang normal ialah sembilan bulan, iaitu antara 38 hingga 42 minggu. Bayi yang dilahirkan sebelum 37 minggu dianggap bayi pramatang atau tidak cukup bulan. Walaupun ada banyak faktor yang boleh membantu meramalkan kelahiran pramatang, tetapi dalam kebanyakan kes ia berlaku tanpa sebarang sebab tertentu.
TEMPOH kehamilan yang normal ialah sembilan bulan, iaitu antara 38 hingga 42 minggu. Bayi yang dilahirkan sebelum 37 minggu dianggap bayi pramatang atau tidak cukup bulan. Walaupun ada banyak faktor yang boleh membantu meramalkan kelahiran pramatang, tetapi dalam kebanyakan kes ia berlaku tanpa sebarang sebab tertentu. Antara faktor risiko yang boleh meningkatkan kebarangkalian kelahiran tidak cukup bulan termasuklah:
Pernah melahirkan anak pramatang meningkatkan risiko antara 20 hingga 40 peratus untuk bersalin tidak cukup bulan kali kedua.
Mengandung anak kembar (kembar dua atau lebih). Risiko bertambah dengan pertambahan janin dalam kandungan.
Masalah uri jatuh dan plasenta previa (kedudukan uri di pintu rahim) adalah dua punca utama pendapatan yang boleh menyebabkan kelahiran awal
Air ketuban terlalu banyak (polihidramnion) atau terlalu sedikit (oligohidramnion).
Jangkitan ketika mengandung terutama jika ia merebak ke dalam rahim atau uri
Kencing manis
Tekanan darah tinggi
Preeklamsia (tekanan darah tinggi hanya ketika hamil), proteinuria (kebocoran protein dalam air kencing) dan bengkak
Merokok atau menagih dadah ketika hamil
Ibu alami masalah tidak cukup zat ketika hamil terutama jika ia menjejaskan pertambahan berat badan
Fibroid, bentuk rahim yang tidak normal atau serviks yang tidak sempurna
Mengandung ketika menjalani rawatan masalah kesuburan; pernah alami keguguran anak dalam trimester kedua (empat hingga enam bulan) atau tidak mendapat penjagaan yang baik ketika hamil
Masalah pada janin termasuklah jangkitan, pertumbuhan terencat atau kecacatan Bayi pramatang Jika mempunyai faktor risiko di atas, buatlah persediaan awal dengan mendapatkan maklumat terperinci daripada pakar kanak-kanak sebelum bersalin. Lebih baik jika doktor pakar ini ada ketika bersalin untuk memberikan penjagaan seawal mungkin sebaik bayi dilahirkan. Apabila bayi dalam keadaan stabil (bergantung kepada umur kandungan ketika dia dilahirkan) dan keadaan kesihatannya, bayi anda akan dipindahkan ke Unit Penjagaan Rapi Neonatal. Biasanya setiap hospital besar mempunyai kemudahan ini. Jika bersalin di pusat rawatan yang tiada kemudahan ini, bayi anda mungkin akan dipindahkan ke hospital lain untuk diberikan penjagaan yang diperlukan. Bilakah wanita dikatakan bersalin terlalu awal? Secara umumnya bayi yang dilahirkan selepas 24 atau 25 minggu kehamilan sudah cukup matang untuk hidup walaupun mereka perlu tinggal lama di unit penjagaan rapi. Bayi yang dilahirkan kurang daripada 23 minggu kelahiran biasanya tidak cukup matang dan agak sukar untuk hidup. Bagaimanapun, selain faktor tempoh kehamilan, ada banyak faktor lain turut memainkan peranan contohnya saiz bayi ketika dilahirkan. Biasanya bayi yang lebih besar mempunyai peluang lebih baik berbanding bayi yang sangat kecil. Malah jantina bayi juga menjadi penentu kerana bayi perempuan didapati mempunyai peluang lebih cerah untuk hidup berbanding bayi lelaki. Selepas dilahirkan pakar neonatal akan membantu anda untuk melakukan persediaan penjagaan seterusnya. Semua bayi pramatang adalah unik dan berbeza dengan bayi pramatang lain. Mereka berbeza dari segi umur, saiz dan banyak faktor lain, terutama kematangan organ dan sama ada dia mempunyai masalah kesihatan seperti jangkitan atau kecacatan. Malah, jika bayi yang sangat kecil pun, perlu diingat bahawa dua pertiga daripada bayi yang berjaya meneruskan hidup boleh membesar seperti kanak-kanak normal atau mengalami sedikit masalah kesihatan. Masalah kesihatan juga bergantung kepada kematangan bayi ketika dilahirkan. Jadi keadaan bayi yang dilahirkan antara 30 hingga 33 minggu adalah lebih baik berbanding bayi yang lahir ketika 26 hingga 29 minggu kehamilan. Kebanyakan bayi pramatang memerlukan ventilator atau alat bantuan pernafasan bagi membolehkan mereka bernafas secara normal. Ini disebabkan pada ketika ini paru-paru mereka masih belum matang dan gejala Sindrom Gangguan Pernafasan (RDS) pada beberapa hari pertama mereka adalah perkara biasa. Bayi dengan masalah RDS akan diberikan bantuan ventilator dan mungkin menerima ubat yang dipanggil surfaktan iaitu agen pembasah atau bahan yang mengurangkan ketegangan permukaan paru-paru untuk membantu paru-paru mereka berfungsi. Mereka juga akan diberikan oksigen dan antibiotik, terutama bagi bayi yang dilahirkan awal akibat jangkitan. Jangan sedih kerana bayi mungkin tidak dapat makan untuk beberapa ketika tetapi dia akan diberikan cecair intravena sama ada melalui suntikan ke dalam salur darah atau tali pusat. Antara peralatan boleh lihat termasuk katil khas dengan pemanas bagi membantu mengekalkan suhu badan bayi anda. Dia juga mungkin memerlukan alat pemantau kardiorespiratori dengan oksimeter bagi memeriksa kandungan oksigen di dalam darahnya. Tiub makanan juga mungkin dipasang pada bayi anda jika dia cukup matang untuk makan. Masalah lain yang biasa bagi bayi pramatang (kurang daripada 30 hingga 33 minggu) tetapi jarang berlaku pada bayi yang dilahirkan selepas 34 minggu kehamilan ialah:
Arteriosus duktur berterusan (PDA) iaitu keadaan di mana salur darah yang hampir dengan jantung yang biasanya tertutup selepas dilahirkan akan terus terbuka. Kebanyakan kes PDA ini akan ditutup sama ada melalui ubat dan jika tidak berjaya barulah pembedahan dijalankan.
Pendarahan intraventrikular (IVH) di mana berlaku pendarahan dalam otak. Keadaan ini boleh dikesan ketika pemeriksaan ultra bunyi pada kepala. Kebanyakan pendarahan berlaku dalam beberapa hari pertama selepas dilahirkan. Jika pendarahan sedikit, ia tidak akan menyebabkan masalah jangka panjang.
Periventrikular leukomalasia (PVL) iaitu tanda kerosakan otak.
Jangkitan kerana imun sistem yang tidak matang
Enterokolitis nekrotis (NEC) iaitu keradangan usus yang biasanya tidak berlaku sehinggalah penyusuan bermula. Rawatannya bergantung kepada keadaan keradangan sama ada membabitkan antibiotik, pemakanan intravena atau kadangkala pembedahan.
Ketidakmatangan retinopati (ROP); iaitu kehadiran salur darah tidak normal pada mata bayi dan keadaan ini akan dirujuk kepada pakar mata.
Apnea dan brakikardia - Ia berlaku apabila sistem pernafasan dan sistem saraf yang tidak matang menyebabkan pernafasan bayi terhenti seketika mengakibatkan kadar degupan jantung bayi menurun. Ia boleh dirawat dengan memberi rangsangan, ubat, oksigen, CPAP atau ventilator; bergantung kepada kekerapan dan berapa lama apnea berlaku.
Anemia atau kurang darah; kadangkala memerlukan pemindahan darah.
Bronkopulmonari displasia (BDP) atau penyakit paru-paru kronik (CLD) juga dikesan pada bayi yang masih memerlukan oksigen selepas berumur empat minggu atau dilahirkan selepas 36 minggu kehamilan. Mereka mungkin memerlukan rawatan jangka panjang serta oksigen dan ubat termasuk ubat diuretik, bronkodilator atau steroid.
Angin pasang juga biasa berlaku pada bayi tidak cukup bulan Bila bayi anda boleh mula makan? Ia bergantung kepada umur kandungan ketika dilahirkan dan keadaan kesihatannya. Jika bayi dilahirkan ketika 32 hingga 34 minggu kehamilan, mereka mungkin tidak boleh menyusu melalui botol susu. Sebaliknya susu akan diberikan melalui tiub yang dipasang pada mulut, hidung atau perutnya. Walaupun bayi anda tidak boleh menghisap puting ibu, tetapi ia tidak bermakna bayi anda tidak boleh diberikan susu badan. Anda boleh mengepam dan meminta jururawat unit penjagaan rapi memberikannya kepada bayi anda. Bila bayi anda boleh balik ke rumah? Ia juga tertakluk kepada umur dan keadaan kesihatannya. Secara umumnya, kebanyakan bayi tidak akan dibenarkan balik sehinggalah dia sampai ke tarikh bersalin yang sebenar. Jadi bagi bayi yang lahir ketika 26 minggu kehamilan, bermakna dia perlu tinggal lebih kurang tiga bulan di hospital! Namun, apabila berat bayi bertambah, mampu bernafas secara normal dengan sendiri (walaupun kadang kala dia memerlukan oksigen) dan boleh makan, maka dia akan dibenarkan keluar daripada unit penjagaan rapi. Bagaimanapun, keadaannya masih akan dipantau oleh pakar kanak-kanak, pakar mata dan pakar paru-paru kerana selain masalah disenaraikan di atas, bayi pramatang, terutama yang kurang daripada 30 hingga 32 minggu kehamilan berisiko mengalami masalah kesihatan seperti BPD, masalah pembelajaran, pendengaran dan penglihatan atau kadang kala serebral palsi. Sesetengah bayi mungkin berisiko menjadi buta, pekak, serebral palsi yang teruk atau terencat akal. Bagaimanapun jangan terlalu bimbang kerana kebanyakan bayi pramatang boleh membesar dengan baik tanpa masalah sama seperti bayi lain.

No comments:

Post a Comment